Ketika menjengah usia 10 tahun ada satu tugasan diberikan kepada kami di dalam kelas mengenai cita-cita apabila dewasa nanti dan menerusinya ramai yang berkeinginan menjawat posisi cikgu, tentera, doktor dan sebagainya.

Tetapi sebaliknya pula bagi saya apabila memberikan jawapan berbeza dengan mengatakan hasrat sebagai jurujual MIG-29 kerana merasakan itu pilihan kerjaya yang cukup menarik bagi seorang kanak-kanak seusia itu.

Jika pertanyaan terbabit diluahkan ketika ini sudah pasti profesion teknikal dan tradisional tidak lagi menjadi minat mereka sebaliknya golongan ini akan lebih terarah kepada kerjaya seperti usahawan kek cawan, pembangun aplikasi, membina robot dan pelbagai lagi cabang industri yang tidak wujud 20 tahun lalu yang mana dikuasakan oleh “brain power” serta kreativiti.

Melihat situasi kerjaya masa kini aplikasi ‘Modern Warface 3’ keluaran ‘Activision’ berjaya menjana jualan lebih AS$400,000 dalam tempoh hanya 24 jam pertama jauh lebih tinggi daripada kutipan filem Hollywood.

Konsol generasi baru seperti XBOX ONE dan PS4 juga mencatatkan jualan sangat memberangsangkan.

Angry_birds

Pengasas Rovio dan pembangun aplikasi game ‘Angry Bird’ berjaya meledakkan nama mereka secara tiba-tiba, yang mana ia adalah teknologi Rovio yang ke-52 dibangunkan dan beroperasi selama lebih lapan tahun sebelum kejayaan ‘Angry Bird’.

Untuk mencapai kejayaan di dalam bidang ini sememangnya boleh tetapi mengambil masa untuk seluruh ekosistem supaya matang dan boleh membantu satu sama lain.

Kerajaan menerusi pelbagai inisiatif telah melaburkan lebih RM800 juta dalam industri kreatif sejak 2010 sebagai pemangkin untuk melonjakkan industri kreatif multimedia negara.

Usahawan di Malaysia sangat beruntung mempunyai akses pelbagai jenis bantuan daripada dana, pinjaman mudah, latihan serta pelbagai jenis bantuan lain.

Banyak hasil telah dapat dilihat menerusi pelbagai jenis filem, animasi serta permainan dibangunkan untuk dipersembahkan kepada pengguna di dalam negara tetapi dilihat masih ada ruang yang boleh di tambah baik dan jurang itu amatlah besar.

Penggiat industri perlu bergiat aktif menyatakan segala kekurangan yang ada dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif ini termasuk tidak cukup bakat berwibawa kerana ia harus ditangani segera supaya industri boleh berkembang lebih cepat.

Inisiatif yang dijalankan juga seharusnya tidak begitu ketat dan perlu berdasarkan kelayakan atau merit.

Kisah seperti penyaluran dana yang bermasalah perlulah diselesaikan dengan membina proses penyaluran yang lebih telus dan efisyen.

Graduan muda kini seharusnya boleh melihat potensi industri kreatif ini dengan lebih serius kerana ia tiada batasnya.

Anda boleh kerja di Malaysia dan hasil kerjaya kelak boleh dinikmati rakyat sebagai contoh di San Francisco.

Cabang kerjaya industri kreatif sangat meluas kerana pengaplikasian bidang kreatif tidak hanya tertakluk kepada pembangunan permainan video serta animasi tetapi juga boleh diaplikasikan dalam kerjaya serius seperti industri minyak dan gas, perkilangan, pangkalan data dan sebagainya.

Pusat kerjaya dan evangelis industri kreatif perlu membabitkan diri menilai graduan muda berbakat dan cara terbaik untuk mengembangkan industri ini adalah dengan mendapatkan kumpulan terbaik yang memilih industri kreatif sebagai pilihan utama kerjaya mereka dan bukan kerana terpaksa.

Industri kreatif sememangnya sedang dan terus berkembang di setiap sudut dunia dan sememangnya lambat-laun pemodal antarabangsa akan memerlukan buah fikiran dan tenaga penghasil karya di sebelah sini.

Hollywood dan Bollywood contohnya memang terkenal dalam kerja mereka menyadur hasil terbaik dari seluruh pelusuk dunia.

infernal_affairs_1024

Filem seperti Oldboy (asalnya dari Korea), The Departed (asalnya dari filem Hong Kong Infernal Affair) menggambarkan kuasa besar industri kreatif takkan penat mencari dan cuba menghidupkan kembali hasil karya yang ternyata membawa impak di negara asalnya.

Inilah peluang untuk penggiat kreatif di Malaysia untuk menonjolkan diri dan tidak hanya bergantung kepada pasaran negara yang boleh dikatakan agak sempit ini.

Luahkan hasil dan buah fikiran anda yang terbaik dan satu hari nanti pasti akan ada pemodal dari luar yang berminat dengan karya lima bintang anda.

Amerika Syarikat sebagai sebuah negara kuasa besar telah lama muncul sebagai tempat kelahiran pelbagai hasil kreatif yang menggemparkan dunia.

Sudah sampai masanya Malaysia, menjadi tapak dan pengasas kepada kebangkitan penghasilan hasil kreatif di rantau Asia Tenggara.

Ini kerana Malaysia, bukan saja dari segi geografi tetapi kemudahan dan infrastruktur sepatutnya sudah cukup bersedia menggalas tugas menjadi pusat penghasilan karya-karya kreatif Nusantara.

Lihat saja Korea yang semakin rakus mengeksport filem dan lagu mereka ke serata dunia dan India yang terus teguh menghasilkan beribu-ribu filem setiap tahun.

Malaysia sepatutnya mengambil peluang yang ada untuk turut sama menghantar keluar hasil karya dan budaya kelas tertinggi untuk dikongsi bersama penduduk dunia.

Dengan ini, masyarakat dunia serba sedikit dan lambat laun akan lebih dekat dan kenal dengan wajah-wajah dan resam masyarakat di bumi bertuah ini.

Pembangunan industri kreatif berkait rapat dengan pembangunan insan berbanding dengan infrastruktur.

Betapa hebat pun infrastruktur dan studio yang boleh dibangunkan, tanpa modal insan yang sesuai segala infrastruktur ini hanya sekadar gajah putih.

Pihak swasta perlu lebih berani untuk melabur di dalam bidang ini.

Tidak cukup banyak konglomerat tempatan yang berani.

KRU

Antara mereka yang telah berani melabur banyak adalah KRU dengan cita-cita mereka yang besar dan hasil karya mereka yang menongkah arus.

Mereka juga amat berani menggunakan pelbagai pendekatan baru dalam penghasilan filem mereka dari segi teknologi dan budaya kerja.

Dan semestinya kita tidak patut mengharapkan hanya mereka melakukan semua itu.

Sudah sampai masanya penggiat dan studio yang lain mengambil pendekatan yang sama.

Lebih berani untuk membawa masuk bukan saja teknologi penggambaran dan penerbitan tetapi sekali dengan pemikiran dan budaya yang terbukti amat berkesan untuk diterapkan.

Amat menyedihkan jika setiap kali kita diwar-warkan dengan peluang dan kemudahan untuk menghasilkan sesuatu yang sepatutnya berkelas dunia tetapi kita memandang sepi dan hanya mengiktiraf ia hanya sebagai subsidi dan kewajipan yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa.

Budaya dan pemikiran yang baik dan cemerlang sememangnya telah lama tertanam bagi sesetengah pihak di dalam industri kreatif tetapi bagaimana untuk menerapkan perkara berkenaan hingga ke akar umbi masyarakat sudah tentu akan mengambil masa yang panjang.

Tetapi itu bukan bermakna kita tidak boleh bermula untuk mengambil pendekatan ini dan membawanya ke dalam kerja seharian selain menggalakkannya sesama rakan sekerja dan taulan rapat kita.

Potensi industri kreatif seperti industri-industri yang lain sememangnya amat besar dan luas selagi kita mempunyai cita-cita yang dipandu oleh budaya kerja berkelas tinggi dan pemikiran yang terus berkembang.

-Artikel ini diterbitkan di dalam akhbar Harian Metro, ruang Bisnes pada 14 April 2014. Dapatkan naskah akhbar No 1 Malaysia ini sekarang selagi sebelum kempunan.

Hello there, anything to say? ;-)